Saturday, 27 February 2016

CERAMAH DENGGI

Tarikh :  25/2/2016

Masa :  3.00 - 4.00 petang
Tempat  :  Ceramah di Dewan Utama, SRA Tg Sepat

Kes demam denggi di Selangor telah mencatatkan bilangan kes tertinggi di antara negeri-negeri lain. Ini mendorong unit kesihatan di bawah Unit Hal Ehwal Murid(HEM) merancang mengadakan ceramah kesihatan khas demi menerangkan dengan lebih terperinci untuk memberikan kesedaran kepada murid-murid dan warga SRA Tg Sepat bagi mengambil langkah yang sepatutnya.
        Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah menghantar wakilnya yang terdiri daripada En. Khairul Nazzeri dan En. Mohd Isa dan turut hadir wakil dari Klinik Kesihatan Tanjung Sepat iaitu Doktor Imran.
        Ceramah disampaikan oleh En. Khairul Nazzeri dengan menerangkan jenis nyamuk yang merupakan penyebar virus denggi ini. Penerangan demi penerangan diberikan mengenai ciri-ciri nyamuk ini dengan jelas. Nyamuk yang dimaksudkan ialah nyamuk aedes betina atau dikenali juga sebagai nyamuk aedes aegypti.
Seterusnya murid-murid didedahkan pula dengan tanda-tanda demam denggi antaranya demam, pendarahan di bawah kulit, bintik-bintik merah dan gusi berdarah. Beliau turut menasihati agar mengambil serius tentang tanda-tanda ini serta perlu berjumpa doktor seawal mungkin bagi mengelakkan ia merebak.
        Setelah itu penerangan mengenai kawasan pembiakan pula dijelaskan. Antaranya kawasan pembiakan di dalam rumah, contohnya kolah, tong takungan air dan bekas takungan air di bawah peti ais. Manakala di luar rumah pula, botol-botol berisi air yang terbiar, tayar, polisterin,  bekas lapik pasu bunga dan longkang yang tersekat. Nyamuk ini memilih kawasan air bertakung yang bersih dan jernih.
Beliau turut nasihati agar kita lebih prihatin dan memastikan kawasan rumah bebas daripada menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes. Gotong-royong patut dilakukan sekurang-kurangnya seminggu atau sebulan sekali bagi menjamin kebersihan dan kesihatan seisi keluarga terjamin.
Setelah selesai, En. Nazzeri membuat kuiz dengan mengajukan beberapa soalan kepad murid-murid. Murid yang berjaya menjawab diberikan sedikit cenderahati.
Setinggi-tinggi penghargaan turut kami berikan kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Klinik Kesihatan Tanjung Sepat kerana telah bekerjasama sebaiknya meluangkan masa memberi penerangan yang sewajarnya. Semoga segala informasi yang telah dikongsikan dapat dimanfaatkan serta mengamalkan cara hidup sihat dengan menjaga kebersihan sekeliling rumah kita


 













































Friday, 19 February 2016

Latihan Kecemasan & Demontrasi Kebakaran

       Pada hari Khamis 18/2/2016 sekolah telah dikunjungi satu pasukan bomba yang terdiri daripada 9 orang ahli bomba bersama satu jentera dan van perubatan. Latihan rasmi kecemasan telah diadakan pada hari tersebut. Loceng panjang secara terus menerus dibunyikan untuk menandakan kecemasan. Semua guru dan pelajar bergegas keluar dari kelas masing-masing sambil memastikan tingkap, pintu, dan suis-suis telah ditutup rapi bagi mengelakkan api merebak dengan cepat sekiranya berlaku kebakaran. Kesemuanya berkumpul di hadapan kelas dan bergerak terus ke tempat berkumpul kecemasan dengan bersegera dan teratur. Setelah semua warga berhimpun di tempat berkumpul kecemasan guru-guru mengira bilangan murid  dengan menyemak di buku rekod kedatangan untuk memastikan semua murid turut serta berkumpul tanpa ada yang tercicir.
       Seterusnya pihak bomba memberikan taklimat mengenai cara yang tepat untuk dilakukan sekiranya ada berlaku kecemasan. Mereka turut menerangkan secara terperinci tentang alat pemadam api yang sedia ada di sekolah. penerangan tentang jenis-jenis dan cara penggunaan iaitu (P-A-S-S) Pull (Tarik) Aim (Tuju) S (Squeez) S (Swap). Seorang murid sukarela untuk cuba menunjukkan cara menggunakan alat pemadam api iitu adik Iman Adlisyam. Semua warga menumpukan penuh perhatian agar memahami dan mengetahui segala maklumat.
       Setelah selesai taklimat, pihak bomba mengadakan demontrasi kebakaran pula. Semua murid dan guru berkumpul di sekeliling agar dapt melihatnya dengan lebih jelas. Pihak bomba memanggil wakil guru lelaki, wakil guru perempuan, wakil murid lelaki dan wakil murid perempuan bagi menunjukkan cara memadam api menggunakan alat pemadam api dengan betul. Ustaz Suhaimi, Ustazah Mishamah, adik  Hafiz Nor Aiman dan adik Nurul Atiqah bergilir-gilir memadamkan api dengan bimbingan pihak bomba dengan cemerlangnya.
       Maka berakhirlah sesi latihan kecemasan dan demontrasi kebakaran dengan kerjasama pihak bomba yang datang dari Balai Bomba Banting. Pihak sekolah amat menghargai kehadiran mereka semoga ilmu yang dikongsi dimanfaatkan serta menjadi panduan buat semua.